Kisah Biawak Yang Beriman
Diriwayatkan oleh Ibn Kathir dalam al-Bidayah wan-Nihayah bahawa al-Baihaqiy menceritakan dari Abu Mansur Ahmad bin Ali al-Damghaniy dari daerah Namin di Baihaq, dalam sebuah kisah yang disampaikan dari Umar r.a.:
Rasulullah sedang berjalan bersama dengan sekumpulan para sahabat, tiba-tiba datang seorang Arab Badawi dari Bani Sulaim ke hadapan Rasulullah s.a.w.. Beliau membawa bersamanya seekor biawak padang pasir (dhab) yang ditangkapnya dan bercadang untuk membakar haiwan tersebut untuk dimakannya.
Melihat orang ramai yang berjalan itu, beliau tertarik untuk mendekati dan bertanya siapakah gerangan yang sedang mereka iringi itu. Apabila diberitahu bahawa mereka sedang mengiringi Nabi Muhammad s.a.w., maka dia terus mendekati Nabi lantas berkata, “Demi tuhan Lata dan Uzza, tiadalah sesuatu pun yang terdapat di alam ini yang kebih ku benci daripadamu wahai Muhammad! Kalaulah tidak kerana kaumku memanggilku dengan panggilan yang tergesa-gesa, tentulah aku sudah memenggal kepalamu lalu aku dapat menggembirakan hatiku dan hati semua manusia berkulit hitam, putih dan merah serta selainnya!”
Umar al-Khattab berang lalu bangkit dan berkata, “Wahai Nabi! Biarlah saya mengakhiri hidupnya!”
Nabi s.a.w. dengan tenang menjawab permintaan Umar, “Wahai Umar! Tidakkah engkau tahu bahawa orang yang lemah lembut itu hampir diangkat menjadi nabi?”
Nabi kemudiannya berkata kepada Arab Badawi tersebut, “Apa yang menyebabkan kau berkata sedemikian? Sepatutnya engkau menghormatiku dalam perhimpunan bersama sahabatku!”
Arab Badawi itu menjawab, “Demi Tuhan Lata dan Uzza! Aku takkan beriman kepadamu hai Muhammad hinggalah biawak ini beriman kepadamu,” katanya sambil mengeluarkan biawak itu lalu melemparkannya ke hadapan Nabi s.a.w.
Nabi s.a.w. memanggil biawak itu. Kedengaran biawak itu menjawab dengan bahasa Arab yang fasih dan difahami oleh semua yang hadir, “Ya wahai Nabi s.a.w.!”
Nabi bertanya lagi, “ Kepada siapakah engkau beriman?”
Jawab biawak itu, “Saya beriman kepada Tuhan yang di langit itu ‘arasy-Nya, di bumi itulah kekuasaan-Nya, dan di lautan itulah jalan-Nya, dan di syurga itulah rahmat-Nya, dan dalam neraka itulah azab-Nya!”
Tanya nabi lagi, “Aku ini siapa wahai biawak?”
Jawab si biawak, “Tuan adalah utusan Allah, yang memiliki sekalian alam! Amat beruntung orang yang mendokong perjuangan tuan, dan binasalah orang yang mendustakan tuan!”
Mendengar kata-kata biawak itu, Arab Badawi itu lantas berkata, “Wahai Muhammad! Sebelum ini engkau merupakan orang yang paling aku benci, tetapi hari ini, engkau adalah orang yang paling aku kasihi berbanding dengan bapaku, diriku sendiri, engkau amat ku kasihi zahirku dan batinku.”
Kemudian beliau mengucapkan kalimah shahadah di hadapan semua yang hadir, “Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang sebenarnya yang layak disembah melainkan Allah dan Nabi adalah pesuruh-Nya.”
Lalu Rasulullah s.a.w. berkata,
“Syukur kepada Allah yang telah menganugerahkan hidayah-Nya kepadamu, sesungguhnya Islam ini adalah yang paling tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya, dan ia tidak diterima tanpa solat, dan solat pula tidak diterima melainkan dengan Al-Quran.”
Jawabnya, “Kalau begitu, ajarlah saya Al-Quran itu , wahai Nabi!”
Lalu Nabi pun mengajarnya membaca surah Al- Ikhlas.
Beliau berkata, “Saya tidak pernah mendengar kata-kata yang lebih hebat daripada ini!”
Nabi menambah, “Ini adalah perkataan Allah, bukannya sajak. Jika kau membaca surah Al-Ikhlas ini sekali, ganjarannya di sisi Allah seumpama kau membaca satu pertiga dari Al-Quran. Jika kau membaca dua kali seumpama kau telah membaca dua pertiga dari Al-Quran, dan jika kau membaca tiga kali seumpama kau telah membaca keseluruhan Al-Quran.”
Jawab lelaki Arab tu, “Tuhan ini adalah tuhan kami, Dia menerima dari kita sedikit tapi membalas kepada kita dengan banyak!”
Nabi bertanya kepadanya, “Adakah kamu memiliki harta?”
Jawab beliau, “Tiada seorang pun daripada Bani Sulaim yang lebih miskin daripada saya.”
Nabi bersabda kepada para sahabat, “Berikan kepadanya apa-apa yang kamu ada.”
Para sahabat memberikannya bantuan hinggakan dia mendapat harta yang banyak terkumpul. Kemudian Abdul Rahman bin Auf berkata kepada Nabi, “Wahai Rasulullah! Saya memiliki seekor unta yang hamil 10 bulan, yang sederhana besarnya, saya perolehi daripada Perang Tabuk, sekarang saya hendak mendekatkan diri kepada Allah. Saya ingin menghadiahkannya kepada saudara baru kita ini.”
Nabi s.a.w. bersabda, “Engkau menceritakan tentang untamu yang engkau telah hadiahkan kepadanya, sekarang aku akan menceritakan bahagianmu yang telah Allah sediakan untukmu sebagai balasan di akhirat. Allah s.w.t. akan menganugerahimu di akhirat dengan seekor unta yang diperbuat dari permata hijau, tengkuknya dari permata kuning dan memiliki pelana yang hebat dan ia akan melintasi titian sirat dengan pantas seperti kilat. Semua orang akan merasa cemburu kepadamu pada hari kiamat kelak.
Kata Abdul Rahman, “Saya redha dengannya wahai Nabi.”
Arab itu pun keluar daripada kawasan mereka berkumpul tadi. Sebaik lelaki tadi beredar, datang kaumnya dari Bani Sulaim seramai seribu orang menaiki seribu ekor unta dengan peralatan perang yang lengkap.
Lelaki Arab itu bertanya kepada kaumnya, “Kemanakah haluan kamu?”
Kaum Sulaim menjawab, “Kami ingin memerangi orang yang menghina tuhan kita.”
Kata Arab Badawi itu kepada kaumnya, “Jangan! Aku sendiri telah beriman dengannya!” Lalu, kesemua kaumnya beriman kepada Rasulullah
Sumber: Azzariyat.com